Monday 26 September 2011

Suspek bunuh lelaki ditangkap


SUNGAI PETANI 26 Sept. - Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang lelaki di sebuah hotel, di sini minggu lalu selepas tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, suspek pertama yang merupakan wanita berusia 32 tahun ditahan di Pulau Pinang dan susulan itu dua lagi suspek berusia 28 dan 29 tahun turut ditahan di lokasi berasingan di negeri sama.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripada suspek tidak mempunyai pekerjaan dan seorang lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kesemua mereka adalah warga tempatan.

"Selain itu, polis telah memeriksa kereta salah seorang suspek dan berjaya menemui sepucuk pistol jenis Beretta yang berisi tujuh butir peluru 9mm, sebilah pedang samurai, beberapa unit telefon bimbit, kad pengenalan dan beberapa pasport antarabangsa daripada suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hashim Ali; Timbalannya, Supritendan Ong Aik Chang dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Ricky Tey.

Mohd. Zakaria memberitahu, siasatan awal menunjukkan motif kejadian adalah cemburu.

"Mangsa dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan kekasih salah seorang suspek berkenaan. Ekoran rasa tidak puas hati tersebut, suspek membunuh mangsa," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemeriksaan ke atas kereta jenis Peugeot 308 warna putih dan bernombor pendaftaran BBB 9999 itu mendapati ia adalah kenderaan yang dilaporkan dicuri di Sea Park, Petaling Jaya, pada 1 Ogos lalu.

"Dengan tertangkapnya suspek itu, kita percaya dapat selesaikan kes bunuh di hotel berkenaan dan juga kes curi kereta. Di samping itu, kita juga akan menyiasat lebih lanjut kemungkinan suspek terlibat dalam kes jenayah lain di sekitar Kedah, Pulau Pinang atau Lembah Kelang," jelasnya.

Tambahnya, suspek wanita itu ditahan reman sehingga 1 Oktober ini sementara dua lagi suspek direman sehingga 3 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 20 September lalu, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala selain tangan serta kakinya diikat di sebuah bilik hotel di Taman Sejati Indah, di sini.

Mayat Mohd. Nasir Ishak, 35, dari Kampung Padang Benggali, Teluk Air Tawar, Butterworth ditemui berlumuran darah di atas katil dalam bilik di tingkat tiga premis oleh kakitangan hotel pukul 1.30 petang.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment