Monday, 26 September 2011

Seorang maut lori rempuh rumah


SIK 26 Sept. – Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera apabila sebuah lori pasir terbabas lalu melanggar dua kereta sebelum merempuh sebuah rumah di Jalan Bukit Tupai dekat Batu Lima, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu, pemandu kereta, Abdul Rahman Jusoh, 56, yang berasal dari Kampung Bandar Hilir Mukim Teloi dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Sarimah Wamin, 46, cedera ringan.

Pasangan tersebut dalam perjalanan pulang dari arah pekan Batu Lima apabila dirempuh lori yang datang bertentangan dari arah Parit Panjang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zaidong Mustapha berkata, lori yang dipercayai dipandu laju itu, cuba mengelak sebuah kenderaan pikap yang membelok ke kiri jalan namun merempuh dan menyeret kereta mangsa.

“Lori tersebut seterusnya merempuh rumah milik warga emas, Maimunah Noh, 70, yang terletak kira-kira 15 meter dari jalan raya sehingga terperosok ke dalam ruang tamu dan bilik tidurnya,” katanya.

Katanya, pemandu lori berkenaan, Mat Ghazali Abdul Kadir, 46, dari Aman Jaya, Sungai Petani turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sik.

Selain itu, menurutnya, pemandu kenderaan pikap, Lim Eee How, 55, cedera di bahagian kepala.

Katanya, Maimunah pula bernasib baik kerana sempat lari menyelamatkan diri sebaik sahaja ternampak lori berkenaan meluru ke arah rumahnya.

Maimunah ketika ditemui bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tersebut.

Katanya, semasa kejadian, dia sedang mengupas kelapa apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan tiba-tiba ternampak lori pasir berkenaan menghala ke arahnya.

“Saya bingkas berundur untuk mengelak sebelum lori berkenaan merempuh rumah saya,” katanya.

“Mujurlah kejadian itu berlaku pada waktu siang kerana jika waktu malam, tiga cucu saya yang setiap malam tidur di bilik berkenaan mungkin menjadi mangsa rempuhan,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment