Monday 26 September 2011

Pengawal keselamatan maut langgar kerbau

Berita Harian Online | Pengawal keselamatan maut langgar kerbau:

Pengawal keselamatan maut langgar kerbau


2011/09/27

REMBAU: Seorang pengawal keselamatan yang baru selesai kerja lebih masa maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sekumpulan kerbau yang melintas jalan di Kilometer 6 Jalan Pedas-Kundur Linggi dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Bhari Othman, 46, yang bertugas di sebuah kolej swasta di sini, tercampak dan meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Mangsa mengalami kecederaan di kepala tidak sempat mengelak sekumpulan kerbau yang tiba-tiba menyeberang jalan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam satu kemalangan lain di Kilometer 39 Jalan Seremban-Tampin dekat sini, kira-kira jam 6 pagi semalam, sebuah kereta rosak sedikit apabila melanggar seekor lembu yang mati di tengah jalan.

Katanya, sebuah lori terlebih dulu melanggar haiwan itu hingga mati, manakala pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar ternakan itu menyebabkan bahagian depan keretanya rosak, tetapi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan

"Saya ingin meminta kerjasama pemilik lembu dan kerbau di daerah ini supaya memastikan ternakan tidak berkeliaran hingga membahayakan pengguna jalan raya," katanya.
Sementara itu, isteri Bhari, Junaidah Talib, 42, berkata suaminya bekerja seperti biasa mulai pagi hingga petang Ahad lalu dan kemudian meneruskan tugas hingga awal pagi.

"Saya tidak syak sebarang kejadian buruk hingga kira-kira jam 4 pagi apabila beberapa anggota polis datang ke rumah dan memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan jalan raya.

"Hancur luluh hati ini dan hampir rebah apabila mendengar berita malang itu. Walaupun sedih, saya menerima ketentuan Ilahi. Apa yang membimbangkan ialah nasib lima anak yang masih bersekolah kerana saya hanya suri rumah sepenuh masa," katanya ketika ditemui di Hospital Tampin.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment