JOHOR BAHRU 26 Sept. - Seorang jurujual wanita nekad mengejar dan menendang motosikal ditunggang seorang lelaki yang meragut beg tangan miliknya menyebabkan suspek diberkas di Jalan Maju, Taman Pelangi, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, mangsa, Cindy Tan, 52, dalam perjalanan ke sebuah kedai percetakan untuk menempah kad perniagaan dengan menaiki motosikal Yamaha Ego.
Katanya, tiba-tiba dia dihampiri sebuah motosikal Kawasaki KR150 dari arah belakang sebelum peragut berkenaan bertindak meragut beg tangannya yang diletakkan di bahagian letak kaki hadapan motosikal berkenaan.
"Saya terus kejar lelaki itu kira-kira 30 meter dan menendang dari tepi menyebabkan kami berdua terjatuh.
"Lepas itu saya terus bangun dan capai beg tangan saya dan lari ke dalam restoran berhampiran untuk mendapatkan bantuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Cindy berkata, suspek yang cedera tidak dapat melarikan diri dan orang ramai yang melihat kejadian itu segera memberi bantuan sebelum menyerahkan lelaki tersebut kepada polis.
Katanya, kejadian ragut itu merupakan kali kedua menimpanya dengan kali pertama berlaku di Taman Megah Ria, dekat sini pada 2005.
"Dalam insiden pertama, suspek sudah ditangkap dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment