Kejadian berlaku pukul 12.50 tengah hari ketika mangsa, Ismail Ibrahim, 78, yang lumpuh di kaki akibat kemalangan motosikal kira-kira tiga tahun lalu, berada seorang diri di rumah.
Menurut menantu mangsa, Melati Mat Noor, 41, ketika kejadian bapa mertuanya berada di ruang dapur rumahnya sebelum api yang dipercayai berpunca dari litar pintas itu menyambar bahagian ruang tamu dan marak dengan pantas.
"Jiran saya terdengar bunyi benda meletup dan melihat api keluar dari tingkap ruang tamu rumah saya. Jiran itu kemudian segera menelefon suami saya (Che Jantan Ismail, 43).
"Ketika itu saya mengajar di tadika Kemas Kampung Banggol, enam anak saya pula ke sekolah manakala anak bongsu berusia tiga bulan di tempatkan di rumah jiran," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, Che Jantan yang bekerja di kilang papan tidak jauh dari rumahnya bergegas pulang dan melihat api sudah marak namun suaminya itu memberanikan diri masuk melalui pintu dapur dan membawa bapanya keluar.
"Suami tiba awal seminit, jika terlambat, mungkin bapa mertua saya (Ismail) tidak dapat diselamatkan kerana api sudah marak ketika itu. Biarpun tiada apa yang tinggal, kami bersyukur, bapa dapat diselamatkan," ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh turut melawat keluarga malang itu dan menghulurkan sumbangan peribadi.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.57 tengah hari dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.
Menurutnya, punca sebenar kejadian masih disiasat dan jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.
No comments:
Post a Comment