Tindakan dua kuasa besar itu mendedahkan perpecahan antarabangsa berhubung kempen kekerasan yang dijalankan oleh Damsyik terhadap penunjuk perasaan sejak beberapa bulan lalu.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Susan Rice mengetuai delegasi Barat yang lain meninggalkan sidang Majlis Keselamatan itu apabila Duta Syria menuduh Washington terlibat dalam 'pembunuhan kaum'.
Berikutan rundingan selama hampir enam bulan, sembilan negara mengundi untuk menyokong teks resolusi yang dirangka oleh Perancis bersama-sama Britain, Jerman dan Portugal.
Usul itu menuntut 'langkah-langkah khusus' dikenakan jika Presiden Syria, Bashar al-Assad tidak menghentikan serangan ke atas penunjuk perasaan, yang menurut PBB sudah meragut sekurang-kurangnya 2,700 nyawa.
Afrika Selatan, India, Brazil dan Lebanon berkecuali, sekali lagi mengesahkan perpecahan di kalangan 15 negara anggota badan tersebut sejak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan udara ke atas Libya menggunakan resolusi PBB bagi mewajarkan tindakan ketenteraan itu.
Tindakan veto Rusia dan China adalah yang pertama digunakan secara bersama oleh kedua-dua negara kuasa besar itu sejak mereka menyekat sekatan PBB ke atas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe pada Julai 2008. - AFP
No comments:
Post a Comment