Wednesday 5 October 2011

Sorok ecstacy dalam kotak hadiah

SHAH ALAM: Taktik seorang lelaki warga emas menyorokkan 1,000 biji pil ecstacy dalam kotak hadiah gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia ditahan polis di Taman Muda, Ampang, Ahad lalu. Malah, pemeriksaan lanjut pada kira-kira jam 1 pagi dalam kenderaan dibawa dan di rumah suspek berumur 52 tahun berkenaan turut berjaya menemui 9,642 biji lagi pil ecstacy dengan harga pasaran keseluruhan bernilai RM266,000. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata pihaknya percaya pil ecstacy berkenaan akan diedar untuk pasaran di kelab malam. “Lelaki yang bekerja sebagai penjual barangan lusuh itu ditahan reman sehingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut. “Siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. Sementara itu, dalam kes berasingan, Thaiveegan memberitahu, polis menahan tiga lelaki terbabit dalam kes pecah dan bakar rumah di sekitar Kajang, Cheras dan Balakong pada 30 September lalu. Beliau berkata, polis menahan semua suspek itu dalam sebuah apartmen di Kajang, dan merampas motosikal suspek. Menurutnya, pelbagai bukti lain dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan termasuk parang, pisau, pistol mainan dan alat-alat pecah rumah turut ditemui. “Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati ketiga-tiga lelaki berusia sekitar 20-an dan 30-an itu positif ujian dadah dan dipercayai turut terbabit lebih 30 kes samun sekitar negeri ini. “Siasatan mendapati ada antara suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau dan polis masih menjalankan siasatan jika mereka terbabit dengan jenayah di luar Selangor,” katanya. Menurutnya, semua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 11 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment