Wednesday, 5 October 2011

Helikopter terhempas ke dalam sungai




BEBERAPA anggota penyelamat melihat helikopter yang cuba diangkat daripada permukaan air di Sungai East, New York kelmarin. - Reuters


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Sebuah helikopter yang membawa lima orang dalam penerbangan persendirian terhempas ke dalam Sungai East di sini tengah hari kelmarin sejurus selepas ia berlepas di tebing sungai dengan menyebabkan seorang penumpang maut dan tiga lagi cedera.
Kejadian itu berlaku semasa helikopter tersebut disewa untuk melakukan penerbangan bagi meraikan satu sambutan hari jadi.
Polis berkata, mangsa yang terbunuh itu merupakan seorang wanita yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-40, terperangkap di dalam helikopter berkenaan semasa ia tenggelam pada kedalaman 15 meter.
Beberapa anggota penyelam Jabatan Polis New York mengeluarkan wanita tersebut sekitar 90 minit selepas helikopter jenis Bell 206 Jet Ranger itu terhempas kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan.
Dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Petugas-petugas kecemasan yang segera tiba di lokasi kejadian mendapati helikopter itu berada dalam keadaan terbalik di dalam air dengan cuma palang pendaratannya timbul di permukaan air.
Juruterbang, Paul Dudley bersama tiga penumpang dilihat terapung-apung di sungai berkenaan manakala seorang saksi memberitahu dia melihat seorang lelaki menyelam untuk cuba menyelamat mangsa yang masih terperangkap.
Jurucakap polis, Paul Browne berkata, ketiga-tiga penumpang yang terselamat ditarik keluar dari sungai itu tidak lama selepas petugas-petugas kecemasan tiba.
Mereka dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan manakala juruterbang terbabit tidak cedera dan berenang ke tebing sungai.
Semua penumpang tersebut ialah rakan keluarga juruterbang berkenaan. - AP

No comments:

Post a Comment