Wednesday, 5 October 2011

Sabotaj mesin deposit wang sebelum menyamun



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sekumpulan penjenayah yang menggunakan taktik mensabotaj mesin deposit wang (CDM) bank sebelum melarikan wang di dalamnya ketika juruteknik datang untuk membaiki mesin itu berjaya ditumpaskan ekoran penahanan tiga suspek di sekitar Batu Caves, pada 28 September lalu.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang pada 10 September lalu, kumpulan tersebut berjaya melarikan wang tunai RM61,400 daripada mesin milik sebuah bank di Jalan Segambut di sini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, dua suspek yang masing-masing memakai topi keledar gelap dan topeng meluru masuk ke dalam bank sebelum mengacukan sepucuk revolver ke arah dua juruteknik yang sedang membaiki mesin itu.
"Suspek terus merampas sebuah beg mengandungi sepucuk revolver serta lima butir peluru daripada salah seorang juruteknik itu.
"Penjenayah itu kemudian merampas wang tunai daripada mesin CDM sebelum melarikan diri bersama dua lagi rakan yang sedia menunggu di hadapan bank," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil maklumat risikan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis menahan tiga suspek berusia antara 22 hingga 25 tahun dan merampas dua pucuk revolver model Taurus buatan Brazil.
"Polis kini memburu seorang lagi lelaki iaitu Al-Syahfarin Ahmad, 26, bagi membantu siasatan di dalam kes itu," katanya.
Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek turut dipercayai terlibat dengan kes samun di Tanjung Malim dan Kuala Kubu Bahru baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment