Wednesday, 5 October 2011

Pengemis campak bayi dalam laut elak ditangkap



TAWAU 5 Okt. - Akibat cuba mengelak daripada ditangkap, seorang pengemis wanita sanggup mencampak bayi lelakinya yang berusia enam bulan ke laut ketika diserbu dalam operasi membanteras kegiatan mengemis di sini hari ini.
Kejadian berlaku berdekatan Sabindo, ketika operasi bersepadu membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan pada pukul 11 pagi ini.
Wanita itu yang berusia lingkungan 40-an bukan sahaja mencampakkan anaknya, malah dia sendiri turut terjun ke dalam laut untuk melarikan diri.
Tiga lagi anaknya yang berusia antara 6 hingga 8 tahun turut terjun dan sempat melarikan diri ke tengah laut.
Berikutan tindakan keluarga itu terjun ke laut, pihak penguat kuasa yang menyertai operasi tersebut segera terjun dan berjaya menyelamatkan wanita dan bayinya.
Operasi tersebut berjaya menahan seramai 23 pengemis, termasuk 13 kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara 6 bulan hingga 60 tahun.
Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau merangkap ketua operasi, Asnah Kassim berkata, operasi itu diadakan bagi memberi bantuan serta perlindungan kepada kutu-kutu rayau di bandar ini.
Katanya, ia dibuat setelah banyak aduan diterima berhubung kegiatan mengemis yang dikuasai warga asing selain penglibatan anak-anak mereka.
Beliau berkata, hasil daripada operasi yang dijalankan, ia diharap dapat membersihkan imej bandar ini daripada dilabelkan sebagai pusat pengemis, khususnya kepada para pelancong.

No comments:

Post a Comment