Wednesday 5 October 2011

Tiga dicekup, seorang diburu

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes samun mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Jalan Segambut , di sini, 10 September lalu diberkas polis manakala seorang lagi rakan suspek masih diburu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua lelaki yang memakai topi keledar, topeng dan bersenjatakan sepucuk pistol memasuki bank berkenaan ketika dua kakitangan bank membaiki mesin itu. “Suspek merampas beg silang milik pengawal keselamatan bank mengandungi sepucuk pistol dan lima butir peluru sebelum mengarahkan mangsa membuka mesin CDM dan melarikan wang tunai RM61,400 sebelum melarikan diri dengan dua motosikal bersama dua lagi rakan yang menunggu di depan bank. “Hasil siasatan, polis menahan ketiga-tiga suspek berusia antara 22 dan 25 tahun di sebuah rumah di Batu Caves, 28 September lalu dan menemui dua pucuk pistol, satu digunakan untuk merompak manakala satu lagi milik pengawal keselamatan bank yang dilarikan,” katanya. Menurutnya, polis kini memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Al-Syahfarin Ahmad, 26, beralamat Batu 23 1/2, Jalan Sahom, Sungai Siput Selatan, Kampar, Perak dan Flat Taman Desa, Batu Caves 1, bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment