Wednesday 5 October 2011

Keluarga disamun tiga penjenayah asing



BUKIT BERUANG - Ibarat mimpi ngeri apabila tidur malam sebuah sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran tiga penyamun warga asing di sebuah rumah di Taman Kabaya Paya Datuk, Alor Gajah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, tiga beranak yang menghuni rumah tersebut turut diikat tangan dengan dawai, sementara rumah mereka digeledah tiga lelaki yang menutup muka dengan ikatan baju.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan berusia 49 tahun bersama isterinya, 30-an serta anak perempuan mereka berusia 17 tahun.

“Ketiga suspek memasuki rumah tersebut melalui tingkap gelongsor di bahagian dapur selepas mengumpil tingkap tersebut dipercayai menggunakan sepana dan melarikan diri melalui pintu hadapan.

“Ketiga-tiga suspek turut menggunakan kayu untuk menakut-nakutkan mangsa sebelum membawa lari wang tunai kira-kira RM1,000 dan sebuah komputer riba,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, kelmarin.

Raja Shahrom berkata, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian berjaya membuka ikatan sesama sendiri selepas kesemua suspek dipercayai warga Indonesia itu melarikan diri beberapa minit kemudian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

No comments:

Post a Comment