Wednesday 5 October 2011

Bersih: Anggota langgar SOP dikenakan tindakan



KUALA LUMPUR 5 Okt. - Seorang anggota polis dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), di sekitar kawasan Hospital Tung Shin, Julai lalu.
Tindakan itu diambil selepas satu siasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan ke atas rakaman video yang dimuat turun daripada beberapa laman web.
Langkah itu bertujuan bagi mengenal pasti pelaku yang membaling bom asap ke arah Hospital Bersalin Cina yang diberhentikan sementara perkhidmatannya pada 2006 untuk kerja-kerja pengubahsuaian.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, anggota itu bagaimana pun tidak didakwa di mahkamah selepas pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mendapati tiada saksi dan mangsa dalam kejadian tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran anggota terbabit.
"Tindakan berkenaan diambil ke atasnya kerana dia bertugas di bawah Kontinjen Kuala Lumpur. Keputusan itu diambil bukanlah merangkumi keseluruhan insiden," katanya ketika mengulas laporan siasatan dalaman Kementerian Kesihatan berhubung kejadian itu yang diumumkan semalam.
Dalam laporan itu mengesahkan pihak polis telah melanggar garis panduan SOP ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan haram di kawasan hospital berkenaan.
Laporan itu juga mengesahkan bahawa meriam air polis telah ditembak ke arah penunjuk perasaan yang berkumpul di tempat meletak kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama Hospital Tung Shin.

No comments:

Post a Comment