Wednesday 5 October 2011

Perompak Amerika Latin diberkas





KUALA LUMPUR 5 Okt. – Polis menumpaskan sebuah kumpulan penyamun didalangi oleh warga Amerika Latin yang menyasarkan pelanggan bank di sekitar Lembah Klang sebagai mangsa sehingga menyebabkan kerugian lebih RM600,000.
Kumpulan yang dipercayai terdiri daripada 15 ahli termasuk dua wanita berusia 40-an dan 50-an itu dikesan aktif melakukan jenayah itu sejak Ogos lalu.
Malah siasatan turut mendapati kumpulan itu terlibat dalam jenayah sama di beberapa negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Korea, Jepun dan Vietnam.
Lima suspek lelaki berusia 40-an ditahan secara berasingan di kawasan bank di Jalan Ipoh dan sekitar Puchong dalam satu operasi bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dua suspek pertama ditahan ketika mencari mangsa di kawasan bank di Jalan Ipoh, manakala tiga lagi ditahan di Puchong selepas siasatan.
“Kumpulan itu bergerak secara berkumpulan menggunakan modus operandi memancitkan tayar kereta pelanggan bank sebelum menyamun.
“Dua suspek wanita yang dikatakan memakai tudung akan memerhatikan pelanggan bank yang mengeluarkan wang tunai dalam jumlah banyak sebelum menyalurkan maklumat kepada tiga suspek lelaki di luar bank.
“Tiga suspek lelaki berkenaan kemudian akan meletakkan sejenis alat berbentuk besi runcing berongga di atas pelapik getah di bawah tayar kereta sasarannya,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Chin Wah memberitahu, kumpulan suspek itu seterusnya akan berlagak prihatin menghulurkan bantuan untuk menukarkan tayar kereta sebelum beg yang mengandungi wang lesap tanpa disedari oleh mangsa.
“Seorang daripada suspek yang diberkas pernah ditahan sebelum ini berhubung kes samun sebuah kafe siber dan telah didakwa di Mahkamah Ampang.
“Namun dia dibebaskan dengan jaminan mahkamah serta waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya kerana tidak hadir prosiding kes tersebut,” katanya.
Chin Wah berkata, kesemua suspek memasuki negara ini menggunakan pasport tulen secara sah tetapi memalsukan dokumen perjalanan tersebut bagi tujuan memudahkan kegiatan jenayah itu dilakukan.
“Polis masih mengenal pasti kewarganegaraan suspek tetapi percaya kesemua mereka berasal dari Amerika Latin kerana mendapati wujud transaksi wang ke negara itu,” katanya.
Katanya, turut dirampas daripada suspek adalah pelbagai jenis peralatan jenayah termasuk enam batang besi runcing berongga, tiga pelapik getah, sebilah pisau, empat buah komputer riba, lapan buah telefon bimbit, tiga jam tangan berjenama serta sebuah kamera digital.
Tambahnya, usaha mengesan saki-baki ahli kumpulan itu giat dijalankan serta tidak menolak kemungkinan kumpulan itu turut aktif di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor.

No comments:

Post a Comment