LONDON - Mahkamah Keadilan Eropah kelmarin membuat keputusan yang memihak kepada pemilik sebuah pub di Britain berhubung isu monopoli siaran bola sepak dalam kes yang dilihat berisiko menggugat keuntungan lumayan dunia penyiaran sukan.
Dalam keputusan yang dinanti-nantikan sejak sekian lama, mahkamah berkenaan memihak kepada pemilik pub tersebut yang sebelum ini didenda kerana menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menggunakan pembekal perkhidmatan televisyen satelit asing.
Keputusan oleh mahkamah di Luxembourg itu dilihat bakal membuka perubahan besar dalam jualan oleh pemilik dan pemasaran oleh badan penyiaran program sukan.
EPL merupakan liga bola sepak terkaya di dunia dengan perjanjian penyiaran televisyen terakhir badan bola sepak berkenaan yang akan berakhir pada musim depan membawa pulangan £3.5 bilion (RM17.23 bilion) yang mana £1.4 bilion (RM6.89 bilion) dibayar oleh stesen penyiaran asing.
Mahkamah berkenaan menyatakan dalam penghakimannya bahawa undang-undang negara yang melarang import, jualan dan penggunaan kad dekoder asing adalah bercanggah dengan kebebasan untuk membekalkan perkhidmatan.
Ia juga tidak memiliki justifikasi untuk mencapai objektif bagi melindungi hak cipta harta intelek atau objektif menggalakkan orang ramai menonton bola sepak di stadium-stadium, tambahnya.
Keputusan mahkamah berkenaan melibatkan Karen Murphy yang menguruskan pub The Red White & Blue di bandar Portsmouth selatan England dan EPL berhubung monopoli perlawanan langsung bola sepak.
Apabila Murphy mengambil alih pengurusan pub itu pada 2004, dia membatalkan lesen untuk menyiarkan perlawanan EPL melalui stesen televisyen satelit Britain, BSkyB dan melanggan perkhidmatan televisyen Greece yang jauh lebih murah.
Wanita berkenaan berkata, yuran tahunan perkhidmatan Nova sebanyak £800 (RM3,939) setahun adalah jauh lebih murah berbanding caj bulanan £700 (RM3,447) yang dikenakan oleh Sky TV.
EPL yang menjual hak penyiaran perlawanan secara langsung kepada stesen televisyen BSkyBmengheret Murphy ke sebuah mahkamah di England.
Murphy diarah membayar denda dan kos hampir £8,000 (RM39,404) ekoran kesalahannya.
Namun, pada tahun ini, dia membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) yang mewakili 27 buah negara Eropah.
Menurut Murphy kelmarin, dia teruja dengan keputusan itu selepas mengharungi satu pergelutan undang-undang yang sukar.
"Orang-orang korporat ini berasakan mereka boleh mengeluarkan wang dalam pelbagai perkara dan menang," katanya.
"Perasaan saya lega, teruja. Ia seperti Karen menentang Goliath," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment