Wednesday, 5 October 2011

Suami cekup 2 penipu

 Oleh Rosli Ilham am@hmetro.com.my DUNGUN: “Saya tidak sangka mereka berniat menipu saya,” kata peniaga, Rosidah Mamat, 24, selepas wang tunai RM200 miliknya dilarikan dua warga Filipina yang berpura-pura ingin menukar wang di kedai runcitnya di Kampung Landas, di sini, petang kelmarin. Dia berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dua warga asing terbabit memberhentikan kereta Datsun Sunny berwarna putih di hadapan kedainya dan berpura-pura mahu membeli barang. “Mereka memaklumkan mahu membeli sabun dan roti sebelum menghampiri saya di kaunter dan seorang mengeluarkan wang RM100 sebanyak enam keping di depan saya,” katanya. Menurutnya, suspek memintanya menukar semua wang tunai RM600 itu dengan RM50. “Bagaimanapun, saya memberitahu wang untuk ditukar tidak mencukupi kerana saya hanya ada RM400 ketika itu. “Suspek kemudian memegang wang saya sebanyak RM400 itu dan sekali lagi membuat helah dengan meminta menukar dengan nilai RM5 dan sebaik saya menjawab tiada, dia menyerahkan kembali wang RM400 itu kepada saya,” katanya. Katanya, dalam suasana kalut kedua-dua warga asing itu berpura-pura pula bertanya harga rokok di kedainya, dia tanpa mengira semula wang itu memasukkannya ke dalam laci. “Selepas kedua-dua suspek beredar, saya membuka laci untuk mengira semula wang yang dikembalikan itu dan terkejut apabila mendapati wang itu kurang sebanyak RM200 sebelum memaklumkan kepada suami yang berada di luar kedai,” katanya. Rosidah berkata, suaminya, Mohd Asmawi Mohd Razak, 31, kemudian memecut kereta mengejar kedua-dua suspek dan selepas beberapa kali berhenti untuk bertanya kepada penduduk sama ada mereka nampak kereta yang dinaiki suspek, suaminya dimaklumkan kereta berkenaan memasuki Felda Jerangau. “Saya percaya suspek mahu melakukan jenayah sama kepada peniaga di kawasan itu namun tidak berjaya sebelum memandu keluar dari Felda berkenaan,” katanya. Suami mangsa, Mohd Asmawi Mohd Razak, 31, berkata dia terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek yang berhenti di sebuah simpang sebelum menyekat kereta itu. “Sebaik keluar dari kereta, saya memaklumkan apa yang berlaku kepada beberapa penduduk yang secara kebetulan berada di kawasan itu dan dengan bantuan mereka, saya menyerbu kenderaan suspek dan menahan mereka,” katanya. Mohd Asmawi berkata, kedua-dua suspek memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan sanggup mengganti kembali wang tunai yang dicuri itu namun dia enggan menerimanya. “Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Jerangau dan saya bersama isteri membuat laporan pada jam 6.30 petang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. Katanya, kedua-dua suspek berusia 39 dan 53 tahun itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment