Wednesday 5 October 2011

Sindiket dadah ditumpas






SUPRITENDAN Abdul Samad Salleh (dua dari kiri) menunjukkan ganja, pedang samurai dan barangan lain yang dirampas dari suspek dalam serbuan di Jalan Wayang, Kampung Tembioh, Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 5 Okt. – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah ekoran penahanan seorang lelaki bersama 1.376 kilogram ketulan mampat dipercayai ganja dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Jalan Wayang, Kampung Tembioh, di sini pada Isnin lalu.
Dalam serbuan pukul 7.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah itu, polis turut merampas sebilah pedang samurai sepanjang 55 sentimeter dan sebuah kereta Proton Gen-2.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan bersabit dengan laporan kenderaan hilang di Kulaijaya pada 25 Ogos lalu.
“Serbuan menemui satu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja beserta dua helai pakaian serta sebilah pedang samurai dalam sebuah beg berwarna merah hitam yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kertas mengandungi ketulan mampat tumbuhan dipercayai ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Abdul Samad, suspek yang berasal dari tanah rancangan Felda di daerah ini, menjalankan kegiatan jenayah itu dengan menggunakan taktik berhenti dan berpura-pura memeriksa kenderaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah direman bermula 4 hingga 10 Oktober ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” ujarnya.
Tambahnya, dalam kes itu, polis menghargai maklumat daripada orang ramai yang membantu pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau bilik gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222.

No comments:

Post a Comment