Friday, 7 October 2011

3 pegawai SPRM mengaku tidak bersalah rompak warga Singapura USD300,000

SEPANG: Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan membabitkan kesalahan merompak dan bersubahat dengan dua lagi yang masih bebas untuk merompak tiga warga Singapura USD300,000 (RM953,580) pada bulan lalu.
Mereka juga dituduh bersubahat dengan dua yang bebas itu untuk menyamar menjadi pegawai suruhanjaya itu, dan dengan sengaja menyembunyikan rancangan rompakan oleh dua yang masih bebas itu ke atas tiga warga Singapura berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, Timbalan Penguasa SPRM S Vijayarao, 33, dan dua Penolong Penguasa SPRM iaitu Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, dan Aziz Jaafar ,48, didakwa bersubahat dengan T. Sritharan, 32, dan D.Nagarajan, 34, merompak wang tunai USD300,000 milik tiga warga Singapura Hameed Saadik Batcha, Abd Rahman Maricar dan Mohamad Zakkaria Mohamed Shatik.

Rompakan itu dilakukan di tandas lelaki bersebelahan Restoran Delifrance, Tingkat 1, Bangunan Satellite di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada kira-kira 11.25 malam, 15 September lalu.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 109 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa terhadap tiga lagi pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Sritharan untuk menyamar sebagai pegawai SPRM terhadap ketiga-tiga mangsa itu pada kira-kira 11 malam di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama dengan Seksyen 109 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.

Bagi pertuduhan ketujuh, kelapan dan sembilan, ketiga-tiga pegawai SPRM tersebut didakwa dengan sengaja menyembunyikan rancangan rompakan berkumpulan yang dilakukan Sritharan dan Nagarajan bagi tujuan menyenangkan mereka malakukan rompakan ke atas ketiga-tiga mangsa berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira 11 malam di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 120 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membenarkan ketiga-tiga tertuduh, masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

No comments:

Post a Comment