Friday, 7 October 2011

Kes Samun Van: Pengawal Keselamatan Ditahan Reman

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan empat lelaki pengawal keselamatan yang bertugas mengawal sebuah van syarikat keselamatan membawa wang tunai RM2.2 juta yang dirompak di Stesen Petronas Ijok, Kuala Selangor pada Khamis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah memberitahu satu sidang media di sini hari ini bahawa kesemua pengawal keselamatan yang berusia antara 19 hingga 30 tahun itu ditahan di Ijok pada pukul 2.30 petang semalam. "Setakat ini mereka dianggap sebagai suspek, dan ditangkap bagi tujuan siasatan ...kita ada asas buat tangkapan," katanya di sini, Jumaat. Beliau berkata dalam kejadian rompakan semalam, polis menerima maklumat pada pukul 9.45 pagi van itu yang membawa wang tunai untuk dimasukkan ke mesin-mesin ATM telah disamun oleh lima lelaki di mana salah seorang daripada suspek kelihatan seperti lelaki dari benua Afrika dan empat daripadanya dipercayai warga tempatan. "Salah seorang daripada mereka menunjukkan pistol dan melarikan van berkenaan selepas memaksa pemandunya keluar," katanya. Van itu kemudiannya dijumpai bersama sebuah Proton Perdana disyaki digunakan dalam rompakan itu yang telah dibakar berhampiran sebuah kebun pisang kira-kira satu km dari tempat kejadian, katanya lagi. Beliau juga berkata tiada tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan kereta Perdana itu dilaporkan telah dicuri sehari sebelum kejadian. Beliau berkata stesen Petronas Ijok itu merupakan destinasi pertama penghantaran wang-wang ATM itu dan beliau enggan memberitahu dari mana van itu bertolak. Mohd Adnan berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata api. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment