KUALA LUMPUR - Hasrat penyanyi Siti Nursaida Tarudin untuk bercerai termakbul apabila suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Fikri bersetuju menerima RM1,000 daripada kakak penyanyi tersohor Siti Nurhaliza itu sebagai bayaran tebus talak (khuluk) dengan talak satu.
Jumlah itu diterima dengan rela hati oleh Mohd. Ghazali 40, selepas penyelesaian yang dicari dalam tiga majlis hakam sebelum ini sejak setahun lalu tidak membuahkan hasil kerana Saida, 35, wanita yang dikahwini selama 15 tahun berkeras untuk berpisah.
Kecewa dengan tindakan Saida yang juga plaintif, Mohd. Ghazali selaku defendan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya, sebaliknya menyerahkan kepada wakil hakam iaitu pegawai mahkamah untuk berbuat demikian.
Anggota badan hakam bagi pihak Mohd. Ghazali kemudian melafazkan cerai talak satu terhadap Saida, manakala wakil wanita tersebut selepas itu dilihat menyerahkan wang tunai RM1,000 kepada Mohd. Ghazali.
Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun enggan menerima wang tersebut, sebaliknya menyerahkan wang berkenaan kepada mahkamah.
Terdahulu, Hakim Mohd. Suhaily Rosdi di Mahkamah Rendah Syariah di sini meminta kedua-dua pihak bersalaman dan bermaaf-maafan, namun bekas jurutera kaji bumi itu memberitahu ia tidak perlu.
Saida bagaimanapun terus pergi ke arah suaminya yang berdiri di hujung meja dan menghulurkan tangan, namun tidak disambut, sebaliknya defendan berkata: "Sampai hati awak buat macam tu kepada saya."
Saida yang dilihat kekok dengan situasi tersebut hanya mendiamkan diri tetapi Mohd. Ghazali ditegur hakim supaya tidak bercakap.
Sementara itu, proses cerai beberapa kali terganggu disebabkan kedegilan Mohd. Ghazali yang mahukan Saida tidak membuat tuntutan terhadap harta dan anak-anak kerana mendakwa perceraian tersebut berlaku disebabkan kecurangan wanita tersebut.
Lantaran itu, hakim menasihatkan defendan supaya memfailkan permohonan lain sekiranya tidak berpuas hati dan rasa teraniaya kerana masing-masing berhak mendapat keadilan.
No comments:
Post a Comment