Friday, 7 October 2011
Australia berusaha bawa balik budak ditangkap miliki dadah di Bali
SYDNEY: Australia semalam berkata, ia berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang ditahan di Bali kerana memiliki marijuana.
Remaja berkenaan yang didakwa membawa sejumlah kecil dadah apabila ditahan di Bali boleh dihukum penjara untuk tempoh masa yang lama jika sabit kesalahan.
“Selaku kerajaan, kami mempunyai orang paling mahir untuk menangani kes budak 14 tahun itu.
“Matlamat kami ialah menyediakan apa juga bentuk bantuan untuk dia dan keluarganya. “Kami berhasrat untuk membawanya pulang ke Australia,” kata Perdana Menteri, Julia Gillard. Menurut Julia, budak itu ditahan di sebuah balai polis di Denpasar tetapi dikurung secara berasingan daripada tahanan lain.
Sementara itu, peguam yang dilantik ibu bapa budak itu, Muhammad Rifan memberitahu wartawan, seorang pakar psikologi sudah memeriksa anak guamnya dan mendapati keadaannya tidak berapa bagus. Menurut polis, remaja itu ditahan bersama-sama dengan 6.9 gram marijuana ketika pulang ke hotelnya setelah berurut di Kuta. Media Australia melaporkan, remaja itu memberitahu polis, penjual dadah berkenaan mendakwa tidak makan beberapa hari dan memerlukan wang.- AFP
Labels:
dadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment