Friday, 7 October 2011
Trauma naik motosikal selepas mata kiri buta
LANGKAWI: Pengalaman koma selama tiga bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Langkawi, termasuk buta mata kiri menjadi detik mengerikan dalam kehidupan seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, kira-kira enam tahun lalu.
Shahrul Othman, 24, dari Kampung Bukit Temin, dekat sini, berkata kejadian yang hampir meragut nyawanya itu mengakibatkan dia patah kaki dan rusuk kiri apabila motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kereta.
Menurutnya, dalam kejadian pada 1995 itu, dia dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Teknik Langkawi, sebelum kereta berkenaan melanggarnya dari arah belakang di kawasan selekoh menyebabkannya terjatuh. “Pada masa sama, saya dilanggar sebuah sebuah kereta lain yang datang dari arah hadapan menyebabkan saya mengalami kecederaan parah pada seluruh badan.
“Saya kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan koma selama tiga bulan di wad ICU Hospital Langkawi selain patah kaki dan rusuk kiri.
“Kejadian ini berlaku disebabkan kecuaian orang lain, dan sehingga kini saya trauma untuk menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Terdahulu, Shahrul yang dilantik sebagai duta Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi Parlimen Langkawi berucap pada majlis perasmian Program Road Safety Walk Peringkat Parlimen Langkawi di pekan Kuah, di sini.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid.
Hadir sama, Adun Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, M Surentharan.
Labels:
kemalangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment