07/10/2011 9:06pm
Oleh ASLIZA MUSA
TAPAH 7 Okt. – Polis memburu tiga pelatih sekolah pemulihan akhlak, Sekolah Tunas Bakti, Taiping yang dipercayai melarikan diri daripada pengawasan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah di sini, pada 22 September lalu.
Dalam kejadian pukul 7.15 petang itu, tiga remaja terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke sekolah tersebut selepas mengikuti lawatan ke Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, tiga remaja terbabit ialah Muhammmad Aminuddin Muhamad Razali, 15, Abu Hurairah Mohd Safu, 16, dan Muhammad Hafizzul Mohd. Nasir, 18.
Katanya, kehilangan remaja itu disedari selepas kesemua 25 ahli rombongan berkenaan berkumpul sebelum menaiki bas untuk pulang ke Taiping.
“Kita harap tiga pelatih itu dapat menyerah diri kerana jika masih berkeliaran tanpa sebarang dokumen pengenalan, mereka tidak boleh berbuat apa-apa, apatah lagi mendapatkan pekerjaan,” katanya di sini hari ini.
Roslan berkata, ketiga-tiga pelatih tersebut ditempatkan di sekolah terbabit atas pelbagai kesalahan juvenil dan dijangka dibebaskan tidak lama lagi.
“Kita telah meminta kerjasama keluarga masing-masing, namun sehingga kini ketiga-tiga mereka tidak pulang ke rumah atau membuat panggilan bagi mendapatkan pertolongan.
“Justeru, kita percaya mereka masih bebas tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari penjagaan yang sah.
“Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pelatih berkenaan agar menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Tapah melalui talian 05-4015222,” katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment