Friday, 7 October 2011
Gaddafi gesa rakyat Libya tunjuk perasaan
SIRTE: Muammar Gaddafi semalam menggesa rakyat Libya mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap rejim baru negara itu.
Gesaannya yang dibuat menerusi mesej audio berkualiti rendah itu disiarkan menerusi televisyen Arai yang berpusat di Syria ketika Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta mengadakan perbincangan dengan pegawai Nato mengenai masa depan serangan udara terhadap Libya.
“Saya menggesa rakyat Libya, lelaki dan perempuan, keluar ke dataran di bandar di seluruh negara untuk menolak Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
“Saya ingin memberitahu mereka, jangan takut kepada sesiapa. Anda adalah rakyat Libya. Anda berhak terhadap negara ini,” kata Gaddafi yang dipercayai masih berada di Libya.
“Laungkan bantahan anda terhadap mereka yang bersekongkol dengan Nato,” katanya, merujuk kepada NTC.
Sementara itu, pertempuran di Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, meletus semalam dengan penyokongnya berusaha memecahkan kepungan tiga minggu tentera NTC.
Pertempuran di timur laut Sirte meletus semalam selepas penyokong Gaddafi mara ketika gelap. “Banyak pergerakan berlaku sebelah malam. Penembak curi mereka mara di beberapa kawasan,” kata seorang tentera NTC.
Sirte dan Bani Walid, bandar padang pasir yang terletak 170 kilometer ke tenggara Tripoli adalah dua daerah yang masih dikuasai penyokong Gaddafi sejak beliau digulingkan Ogos lalu.
Pasukan tambahan NTC dilapor dikerah ke Bani Walid semalam untuk melancarkan satu lagi serangan terhadap penyokong Gaddafi yang bermati-matian mempertahankan bandar itu. - AP
Labels:
libya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment