Friday, 7 October 2011

Warga Iran edar syabu dihukum mati



SHAH ALAM 7 Okt. - Seorang kontraktor warganegara Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar lebih dua kilogram syabu yang disembunyikan dalam beberapa naskhah buku pada Februari tahun lalu.
Hakim Nor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Saaed Najafi Ghorbanali, 35, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.
Dalam penghakiman ringkasnya, hakim tersebut menyatakan, tertuduh semasa memberi keterangan dari kandang saksi mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakan di Malaysia ketika sedang bercuti di Istanbul, Turki.
Katanya, tertuduh kononnya menerima undangan rakannya itu untuk datang ke Malaysia serta bersetuju membawakan barang berupa beberapa naskhah buku yang diambil daripada seseorang yang langsung tidak dikenalinya untuk dibawa ke negara ini.
''Saya dapati cerita tertuduh itu tidak logik, tidak munasabah, tidak boleh diterima akal, tidak boleh dipercayai serta langsung tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
''Dengan itu saya sabitkan tertuduh atas kesalahan sebagaimana pertuduhan. Bagi kesalahan ini tidak ada pilihan lain iaitu hanya hukuman mati,'' katanya.
Saaed Najafi didakwa mengedar syabu (methamphetamine) seberat 2,490 gram di Pejabat Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 8.45 pagi, 4 Februari 2010.

No comments:

Post a Comment