Friday, 7 October 2011

Bayaran ratu 'Miss Universe' cetus kontroversi

JAKARTA: Kunjungan sulung ratu cantik Miss Universe 2011, Cik Leila Lopes, ke Indonesia diseret ke kancah kontroversi selepas beliau dilaporkan dibayar sebanyak AS$84,000 bagi menghadiri satu acara makan malam amal. Cik Lopes dijadual menjadi tetamu kenamaan majlis makan malam amal sempena sambutan ulang tahun persatuan isteri-isteri polis, Bhayangkari, cawangan Jawa Timur, pada Selasa depan. Muka depan akhbar Jakarta Globe kelmarin melaporkan, bayaran berkenaan diperoleh daripada sumbangan pegawai polis untuk dibayar kepada ratu cantik yang berasal dari Angola itu sebagai ganjaran atas kehadirannya. Sehubungan itu, pakar pertahanan negara, Encik Bambang Widodo Umar, menggesa Ketua Polis Negara, Jeneral Timur Pradopo, supaya mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Putut Bayusenot, atas skandal berkenaan. 'Ketua Polis Negara atau pengerusi Persatuan Bhayangkari seharusnya menasihatkan Ketua Polis Jawa Timur atau isterinya bagaimana cara meraikan ulang tahun', kata pensyarah di Universiti Polis Kebangsaan itu. Encik Bambang, yang juga mantan pegawai di Suruhanjaya Polis Kebangsaan, berkata adalah lebih baik sumbangan wang sebanyak itu disalurkan kepada badan-badan kebajikan atau membantu anggota polis pangkat rendah. 'Ada ketika anggota polis yang berjawatan kecil tidak mampu membayar sewa rumah mereka,' tegas Encik Bambang lagi. Sementara itu, dalam kunjungannya ke Indonesia, Cik Lopes juga dibawa ke bilik pameran jualan kereta buatan Malaysia, Proton, di Pondok Indah, di sini. Dalam kunjungan singkat itu, Lopes turut diberi peluang menaiki kenderaan Proton Exora President (versi Indonesia). 'Exora sebuah kereta yang sangat selesa. Saya hampir terlelap kerana keselesaan Exora,' kata Cik Lopes yang turut ditemani ratu cantik, Puteri Indonesia 2010, Cik Nadine Alexandra Dewi Ames. -- Agensi.

No comments:

Post a Comment