Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 4.2, Jalan Machang-Pasir Puteh, kira-kira 5.30 pagi itu mengorbankan empat penuntut UiTM, manakala seorang cedera ringan.
Menurutnya, pemandu kereta itu, Mohd Syamil Malik yang berasal dari Parit Jorak Elahi di sini dan rakannya Mohd Rizal Mohd Zain, dari Kluang, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala dua lagi rakan mereka Mohd Sazwan Rosli (Pahang) dan Mohd Faizuddin Jamil (Shah Alam,Selangor) meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
“Sementara Mohd Haziq Zailani pula, cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Machang. Kesemua mereka berusia 19 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kereta dinaiki lima penuntut UiTM itu dipercayai melanggar bahagian tengah treler dari arah Pasir Puteh ke Machang ketika dalam perjalanan pulang ke universiti dari Kota Bharu.
“Empat maut dan seorang cedera ringan, manakala pemandu dan kelindan treler tidak cedera. Pemandu treler yang berusia 24 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, pihaknya mengambil masa sejam mengeluarkan empat mangsa yang tersepit.
Katanya, operasi menyelamat melibatkan lapan anggota itu dimulakan pada jam 5.59 pagi, mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit kaki dan dada.
Sementara itu, seorang rakan mangsa, Alia Nor Mashitah Fadzil, 19, berkata, lima rakan sekelasnya itu dipercayai ke Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu bagi meluangkan masa bersama sebelum pulang ke kampung sempena cuti semester, semalam.
No comments:
Post a Comment