Friday, 7 October 2011

Warga emas meninggal dunia disangka tidur

SUNGAI PETANI: Pelanggan sebuah restoran nasi kandar di Jalan Ibrahim, dekat sini, gempar apabila seorang warga emas yang disangkakan sedang tidur di kaki lima premis itu, sebenarnya sudah meninggal dunia, malam kelmarin. Kejadian berkenaan hanya disedari pelanggan restoran itu kira-kira jam 9.15 malam ketika mereka cuba mengejutkan warga emas berkenaan, namun dia tidak bergerak sebaliknya terkulai kaku. Jurucakap polis berkata, berikutan itu, orang ramai segera menghubungi polis yang bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati seorang warga emas berada dalam keadaan terbaring di kaki lima restoran berkenaan dengan menjadikan beg pakaiannya sebagai bantal. Menurutnya, ketika ditemui, terdapat sebungkus nasi dan air di sisinya, selain beg pakaian dan dompet mengandungi sejumlah wang tunai, namun polis menghadapi masalah untuk mengesan warisnya kerana tidak memperoleh identiti lengkap. “Pemeriksaan anggota polis mendapati kad pengenalan lelaki terbabit sudah terkoyak tanpa nama kecuali hanya tercatat nama bapanya, Kasim, selain tiada alamat tempat tinggal “Kita juga menemui satu resit membeli basikal di sebuah kedai basikal di pekan Kota Kuala Muda pada 1 Oktober lalu. “Siasatan awal mempercayai lelaki itu ke restoran berkenaan untuk membeli makanan, tetapi dia berehat di kaki lima premis itu akibat keletihan sebelum meninggal dunia,” katanya. Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hopsital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut. Katanya, berikutan itu pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mengenali mangsa agar menghubungi Jabatan Forensik HSAH di talian 04-4457150 untuk pengesahan dan urusan menuntut jenazah.

No comments:

Post a Comment