Oleh Sazarina Shahrim
2011/10/08
SEPANG: Selepas dibebaskan dengan jaminan polis Khamis lalu, tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan bersubahat melakukan rompakan, penyamaran dan penipuan serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warga Singapura membabitkan wang tunai AS$300,000 (RM930,000) pada 15 September lalu. Seawal jam 8.30 pagi, pekarangan mahkamah dipenuhi dengan media serta ahli keluarga dan rakan tiga tertuduh iaitu Timbalan Penguasa SPRM, S Vijayarao, 33, Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, dan Aziz Jaafar, 48.
Selepas membayar wang jaminan, ketiga-tiga tertuduh yang keluar secara berasingan, kepala ditutup dengan baju T dan diselubungi pula menggunakan jaket sehingga hanya menampakkan mata bagi mengelakkan gambar mereka dirakam media.
Mereka dibantu rakan yang turut menutup muka masing-masing dipercayai bagi mengelirukan media.
Tertuduh menghadapi tuduhan bersubahat dengan dua lagi individu yang masih bebas, T Sritharan, 32, dan D Nagarajan, 34, bagi melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hameed Saadik Batcha, Abd Rahman Maricar dan Mohamed Zakarriya Mohamed Shatik, masing-masing membabitkan wang AS$100,000 (RM310,000), di tandas lelaki bersebelahan restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satellite, KLIA pada jam 11.25 malam pada hari yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Mereka menghadapi tuduhan bersubahat dengan Sritharan bagi menipu Hameed Saadik, Abd Rahman dan Mohamed Zakarriya dengan memperkenalkan Sritharan sebagai pegawai SPRM sedangkan beliau bukan pegawai suruhanjaya itu, pada jam 11 malam di bangunan Satellite KLIA dan didakwa mengikut Seksyen 419 yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
No comments:
Post a Comment