Friday, 7 October 2011

Penduduk dakwa diganggu kutu beras



PASIR GUDANG - Satu lawatan ke kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dijalankan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) berikutan aduan yang diterima daripada penduduk setempat berhubung serangan kutu beras di kawasan penempatan.

Yang Dipertua MPPG, On Jabbar berkata, beberapa punca kutu beras membiak telah dikenal pasti setelah lawatan ke gudang tersebut bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian.

Menurutnya, pihak Bernas juga bersetuju untuk menjalankan langkah-langkah menghapuskan pembiakan kutu beras di gudang tersebut melalui dua proses jangka pendek dan panjang.

“Bagi langkah jangka pendek, pihak Bernas akan memusnahkan kesemua kepingan kayu yang digunakan di dalam gudang itu dengan secepat mungkin yang dikatakan sebagai punca kutu beras membiak.

“Seterusnya, mereka juga akan menjalankan proses pengewapan gas dan pengasapan secara berperingkat supaya kutu beras yang ada tidak akan keluar dari gudang dan menyerang kawasan penempatan berdekatan,” katanya pada sidang akhbar setelah lawatan dijalankan di sini, semalam.

Katanya, MPPG akan memberi tempoh selama tiga bulan kepada pihak Bernas dalam menjalankan langkah-langkah pencegahan kutu beras tersebut.

“Pihak Bernas juga telah menjangkakan punca masalah kutu beras ini berlaku adalah disebabkan kerja-kerja ubah suai gudang dijalankan yang terbuka hingga menyebabkan kawasan penempatan berhampiran terjejas,” katanya.

Beliau berkata, antara penempatan yang terjejas adalah kawasan Perjiranan 10 dan kawasan Flat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) yang didiami kira-kira 5,000 penduduk.

Hadir sama adalah Penolong Pengurus Besar Bahagian Penjualan dan Pengedaran, Ramsuri Abdul Rahman di mana pada lawatan tersebut tidak mahu memberi sebarang kenyataan kepada media.

Sementara itu, salah seorang pengadu, Mohd Tahir Ibrahim, 58, berkata, masalah itu berlaku sejak tahun lepas.

Menurutnya, kehadiran kutu beras itu membimbangkan terutamanya ke atas kanak-kanak dan bayi walaupun ia tidak serius.

“Walaupun ia tidak mendatangkan sebarang penyakit, namun ia membimbangkan jika serangga ini akan mengganggu dengan memasuki rongga-rongga kanak-kanak atau bayi di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment