Friday, 7 October 2011

Banjir lumpur



KUALA KANGSAR – Penduduk yang tinggal di Simpang Lawin, Jalan Taiping, di sini, berdepan masalah apabila kawasan penempatan mereka dinaiki air dan dilanda banjir lumpur, sejak kebelakangan ini.

Bukan sahaja penduduk, para petani yang berkebun turut terkena musibah apabila tanaman mereka musnah ditenggelami air banjir.

Penduduk mendakwa, masalah berkenaan timbul berikutan wujudnya projek perumahan di bahagian atas bukit berhampiran penempatan itu dan sebahagiannya masih dalam pembinaan tetapi tidak mempunyai sistem saliran secara sistematik.

Penduduk, M.Ravindran, 38, berkata, dia sudah tinggal di kawasan itu sejak sepuluh tahun lalu tetapi tidak pernah berdepan masalah sedemikian sehinggalah kejadian pertama pada Mac lalu.

Menurutnya, beberapa hari lalu, rumah dan kawasan pertanian milik penduduk sekali lagi dilanda banjir dan keadaan itu semakin teruk.

“Di bahagian atas penempatan ini terdapat satu projek perumahan dan di situ ada satu kawasan tadahan air tetapi pemaju tidak membina sistem saliran yang baik.

“Bila hujan, air akan turun ke bawah dan mengalir ke kawasan rumah dan kebun penduduk, tahun ini sudah dua kali banjir lumpur berlaku.

“Sepatutnya aliran air berkenaan dihalakan ke sungai tetapi ia dibiarkan begitu sahaja dan kami menerima kesannya,”katanya kepada sinar Harian, di sini, kelmarin.

Katanya, berikutan masalah itu, dia bersama beberapa lagi penduduk bertindak membuat laporan polis bagi menggesa pihak berwajib mengambil tindakan dan meminta bayaran ganti rugi.

“Kami sudah membuat laporan polis secara berasingan dan sebelum ini, masalah ini pernah diadukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi sehingga kini tiada perubahan berlaku.

“Pihak berkaitan juga ada membuat lawatan di kawasan ini selepas kejadian banjir Mac lalu tetapi tindakan sewajarnya masih kami tunggu,”katanya.

No comments:

Post a Comment