Friday, 7 October 2011

Mangsa samun cuba pukul cucu

IPOH: Seorang nenek yang tidak dapat menahan geram apabila disamun cucunya sendiri dalam kejadian Rabu lalu, mengamuk’ dan cuba memukul suspek menggunakan sebatang kayu di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam. Kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika Sepiyah Rafie, 73, ke IPD berkenaan untuk melakukan pengecaman selepas cucunya itu diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan rompakan itu. Suasana bertukar gempar ketika suspek dibawa keluar dari lokap untuk mendapatkan perintah tahanan reman apabila warga emas berkenaan terus meluru ke arah cucunya sambil mengeluarkan kayu yang sudah ‘disediakan’ khas untuk mengetuk kepala suspek. Bagaimanapun hajat nenek berkenaan tidak kesampaian selepas dihalang anggota polis yang mengiringi suspek sebelum dia ditenteramkan beberapa ahli keluarganya. “Saya tidak akan berputus asa dan rela menunggu peluang untuk mengetuk kepalanya dengan kayu ini sebagai pengajaran buatnya supaya tidak mengulangi perbuatan kurang ajar serta tidak berhati perutnya terhadap saya. “Bagaimanapun saya tetap menganggapnya sebagai cucu dan atas dasar kasih sayang, saya berharap dia menerima hukuman setimpal. Sehingga kini saya masih trauma,” katanya.

No comments:

Post a Comment