Friday, 7 October 2011

Percikan api sambar dinding

KAMPUNG SOON LEE – Akibat percikan api dari meter elektrik, sebuah rumah milik seorang warga emas di sini, mengalami kebakaran, semalam. S Krisnasamy, 64, berkata, ketika kejadian kira-kira am 3 petang itu, dia sedang memandikan cucunya di halaman rumah sebelum melihat percikkan api dari meter elektrik yang terletak di hadapan kediamannya. Menurutnya, percikan api itu menyambar dinding sebelum merebak ke bahagian dapur rumahnya. “Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa perkakas di bahagian dapur dan ruang tamu manakala barangan lain hangus terbakar. ““Saya percaya kebakaran itu berlaku disebabkan lintar pintas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Krisnasamy berkata, bagaimanapun, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian tidak ada seorang pun ahli keluarga di dalam rumah. Ujarnya, rumah berkenaan dihuni bersama isteri, anak berstatus balu dan tiga cucunya. “Sudah 15 tahun saya duduk di sini dan ini adalah kejadian pertama berlaku sejak menetap di sini. “Kami sekeluarga hanya bergantung pada wang pencen dari Socso sebanyak RM300 sebulan selain menjalankan ternakan kecil-kecilan di belakang rumah,” katanya. Kejadian yang dialami warga emas itu mendapat perhatian Adun Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat. Sham berkata, beliau menerima panggilan sekitar 4.30 petang iaitu sejam selepas kejadian. Menurutnya, beliau sudah mengarahkan mangsa pindah ke anaknya namun, Krisnasamy menolak kerana bimbangkan ternakannya. “Kita memberi bantuan sementara termasuk katil, tilam dan bantal, dapur untuk masak selain barangan keperluan dapur. “Esok (hari ini) saya akan datang bersama beberapa pegawai dari Pejabat dan Tanah Daerah Kerian serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu warga emas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment