Friday, 7 October 2011
Geng Gendut masuk lokap
ARAU: Sekumpulan penjenayah yang dikenali sebagai ‘Geng Gendut’ dan dipercayai aktif melakukan kegiatan memecah masuk rumah melalui bumbung di negeri ini, kini meringkuk di dalam lokap selepas dicekup polis pada 22 September lalu.
Geng yang didalangi dua beradik lelaki berusia 19 dan 20 tahun bersama tiga lagi rakan mereka berusia antara 20 hingga 24 tahun itu, menyasarkan rumah sewa pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya sudah lama memburu kumpulan terbabit yang turut menjalankan aktiviti pecah rumah di daerah Kubang Pasu dan Alor Setar, Kedah.
Menurutnya, hasil intipan, akhirnya mereka mencekup suspek utama di rumahnya di Arau, di sini, kira-kira jam 1 pagi pada 22 September lalu sebelum membawa kepada tangkapan saki-baki geng berkenaan.
“Hasil penahanan semua suspek, pihak kami berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar Arau sejak tahun lalu dan mereka dipercayai masih ada kaitan dengan beberapa kes di daerah lain.
“Ujian saringan air kencing ke atas mereka juga mendapati positif dadah jenis heroin dan dipercayai menjalankan aktiviti pecah rumah bagi tujuan membeli dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, semalam.
Mohd Nadzri berkata, semua suspek menggunakan taktik dengan memasuki rumah mangsa menggunakan bumbung dan tingkap, sebelum melarikan komputer riba, telefon bimbit dan peralatan berharga lain.
Labels:
pecah rumah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment