Monday 24 October 2011

38 kes demam denggi hingga September



WAKAF TAPAI - Pejabat Kesihatan daerah melancarkan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah laku (Combi) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya denggi bagi lokaliti Taman Raya dan Taman Istiwa di sini.

Selain meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti untuk mewujudkan persekitaran bebas daripada nyamuk Aedes, ia juga sebagai strategi kawalan denggi dan kesihatan untuk lokaliti tersebut.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan daerah, Dr Faizah Ghazali dan Naib Ketua Umno Bahagian, Razali Idris.

Program tersebut, kata Yahya, penting bagi membendung penyakit itu memandangkan sejak Januari sehingga September tahun ini, sebanyak 38 kes demam denggi berlaku di daerah berkenaan walaupun tiada wabak demam denggi berlaku.

Menurutnya, bagi Taman Raya dan Taman Istiwa tahun ini, tiada kes dilaporkan setakat ini.

“Walaupun lokaliti Taman Raya dan Taman Istiwa yang kita pilih sebagai lokaliti Combi tiada kes demam denggi dilaporkan setakat ini namun data kawalan dan pencegahan denggi pada tahun lalu menunjukkan terdapat dua premis dikesan positif Aedes.

“Dua kompaun dan dua notis di bawah Seksyen 8 juga telah dikeluarkan Pejabat Kesihatan daerah,” katanya pada majlis pelancaran Combi bagi lokaliti Taman Raya dan Taman Istiwa di Sekolah Kebangsaan (SK) Chong Hwa Wakaf Tapai di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai khususnya bagi penduduk di lokaliti berkenaan dapat meluangkan masa selama 10 minit sehari bagi memeriksa kawasan rumah masing-masing dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan daerah, Dr Faizah Ghazali berkata, program berkenaan dapat menyedarkan masyarakat setempat betapa pentingnya menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan nyamuk aedes membiak.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment