Monday, 24 October 2011

Remaja remuk jari kaki



KOTA BHARU- Gara-gara bermain mesin menuai padi bersama rakan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun putus sebatang jari kaki dalam kejadian tengah hari, Jumaat lalu.

Mangsa, Mohd Amirul Mohd Jusoh, 16, berasal dari Kampung Pak Koja, Mahligai, Bachok berkata, dalam kejadian tersebut, empat jari yang lain pada bahagian kaki kirinya turut remuk.

“Kira-kira jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu, saya bersama seorang rakan keluar ke tengah sawah untuk bermain mesin menuai padi di Kampung Kubang Palas, Mahligai.

“Setiap kali berasa bosan, biasanya saya ke sawah itu untuk melihat keadaan mesin menuai padi, tetapi kali ini saya tidak bernasib baik setelah tergelincir dari atas mesin dan kaki kiri terkena kipasnya,” katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, semalam.

Mohd Amirul berkata, semasa kejadian, dia sempat mengelak kaki kirinya daripada terlekat pada kipas mesin tersebut, namun kelima-lima jarinya didapati remuk.

Menurutnya, selepas kejadian itu, darah berterusan keluar dan terpaksa menahan kesakitan selama 15 minit sebelum dihantar ke hospital Bachok.

“Rakan saya terkejut melihat keadaan kaki saya, lalu dia menghantar saya ke Klinik Kesihatan Mahligai, Bachok dan kemudian pihak klinik pula menghantar saya ke HUSM.

“Doktor memberitahu saya, satu jari kaki yang terputus itu sempat disambung semula, namun doktor tidak memberi jaminan ia boleh berfungsi seperti biasa atau tidak,” katanya.

Pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah di Bachok itu berkata, jika kaki itu tidak boleh bergerak atau aktif, mungkin jari berkenaan akan dipotong untuk mengelak sebarang jangkitan kepada bahagian anggota badan yang lain.

Sementara itu, ibunya, Norhasliza Zahari, 32 berkata, dia terkejut setelah dimaklumkan anak kedua daripada empat beradik itu terkena mesin menuai padi dan ketika kejadian dia berada di HUSM melawat saudaranya sakit.

Bapanya, Mohd Jusoh Deris, 43 berkata, dia turut risau jika kos rawatan dan pembedahan dikenakan tinggi memandangkan mereka datang dari keluarga miskin.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment