BESUT - Seorang warga emas cedera di bahu dan dada kirinya akibat ditoreh dengan parang oleh lelaki yang cuba menyamun di rumahnya di Kampung Gong Nangka dekat Jerteh di sini, malam tadi.
Abdul Ghani Jusoh, 69, yang tinggal dengan isterinya yang lumpuh berumur 68 tahun itu mengalami pendarahan teruk dan dihantar ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata keadaan lelaki warga emas itu dilapor stabil setelah menerima rawatan dan turut menerima lapan jahitan.
Bercakap pada sidang akhbar di sini, Kamarudin berkata dalam kejadian pada pukul 11.15 malam itu, seorang lelaki berusia 27 tahun memecah masuk ke rumah warga emas itu melalui bahagian dapur rumah itu.
"Ketika kejadian mangsa yang baru hendak tidur terdengar bunyi kaca pecah tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangka ia disebabkan kucing. Beberapa minit kemudian mangsa terdengar kaca pecah kali kedua menyebabkannya keluar dari bilik.
"Sebaik keluar mangsa terserempak dengan suspek yang terus menerpa kearahnya dengan memegang dua bilah parang milik mangsa yang diambil dari dapur menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka," katanya.
Beliau berkata dalam pergelutan itu, lelaki terbabit tertinggal telefon bimbit dan jam tangan dan hasil kerjasama penduduk kampung serta gerakan polis, lelaki itu ditahan paa pukul 8.10 pagi ini.
Lelaki itu ditahan ketika bersembunyi dalam semak di Kampung Bukit Kenak, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian dan hasil pemeriksaan, lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine, katanya.
Kamaruddin berkata lelaki yang berasal dari Kampung Pachakan, Pasir Putih, Kelantan itu cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang dibawanya.
Abdul Ghani ketika ditemui berkata beliau mengesyaki sesuatu apabila kaca tingkap dapur rumahnya pecah dua kali dan setetalh keluar bilik untuk memeriksanya, penceroboh itu menyerangnya dengan parang.
"Pak cik bergelut hampir 20 minit dan sempat menumbuk pipi dan bibir lelaki itu, menyebabkan dia lari keluar rumah. Pak cik hanya sedar dada dan bahu berdarah kena toreh lepas itu dan segera meminta tolong saudara mara untuk dibawa ke hospital," katanya. - Bernama
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment