Monday, 24 October 2011

Jenazah Gaddafi masih dipamer dengan bekas kecederaan disembunyikan

MISRATA: Tentera Libya yang mengawal jenazah Muammar Gaddafi dalam sebuah bilik penyejuk beku komesial sebuah gedung beli-belah setempat terus membenarkan orang awam menziarahi jenazah bekas pemimpin negara yang digulingkan itu, kelmarin.

Bagaimanapun, kali ini bekas kecederaan yang dialami oleh diktator Libya itu, yang boleh menjadi bukti berhubung bagaimana beliau maut, telah disembunyikan.

Jenazah Gaddafi masih terletak di atas sebuah tilam di lantai bilik sejuk itu, sama seperti Jumaat lalu apabila ratusan orang awam beratur untuk melihat sendiri bahawa lelaki yang pernah memerintah Libya selama 42 tahun itu sudah meninggal dunia.

Namun, tidak seperti hari sebelumnya, jenazah Gaddafi kelmarin ditutup dengan sehelai selimut, dengan hanya membiarkan bahagian kepalanya didedahkan - menyembunyikan kesan luka pada bahagian badannya dan kesan calar pada dadanya, yang sebelum ini kelihatan begitu ketara.

Seorang wartawan agensi berita Reuters, yang turut menziarahi jenazah Gaddafi, berkata kepala bekas diktator Libya itu telah dimiringkan ke kiri.

Ini bermakna kesan lubang peluru yang sebelum ini dapat dilihat menembusi bahagian kiri muka beliau, dekat bahagian depan telinganya, sudah tidak dapat dilihat umum.

Namun, satu bedah siasat yang dijalankan oleh para doktor Libya mengesahkan bahawa diktator Libya itu mati akibat tembakan pada kepalanya, menurut ketua ahli patologi negara itu, lewat semalam, selang beberapa jam sebelum para pemimpin baru Libya mengisytiharkan negara itu bebas dan menamatkan perang saudara yang berjalan sejak lapan bulan lalu untuk menggulingkan rejim Gaddafi selama lebih empat dekad.

Bagaimanapun, keprihatinan antarabangsa berhubung suasana kematian Gaddafi dan ketidaktentuan keputusan bagi pengebumiannya telah dibayangi oleh kegembiraan hari bersejarah itu.

Gaddafi, 69 tahun, ditangkap dalam keadaan cedera tetapi masih hidup pada Khamis lalu di Sirte.

Namun, imej-imej beliau dipukul dengan ganas oleh para penentangnya menimbulkan tanda tanya terhadap dakwaan sesetengah pegawai bahawa beliau terbunuh dalam satu insiden tembak menembak. -- Reuters, AP.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment