Monday, 24 October 2011

Bagaikan dilanda banjir kilat



DIOH – Seorang warga emas di Kampung Bukit Temensu, di sini memohon bantuan daripada pihak berkenaan bagi membaik pulih bumbung rumahnya yang rosak akibat ribut, baru-baru ini.

S Krisnaveny, 70, berkata, dia yang tinggal bersama dua cucunya sering dibelenggu rasa bimbang kerana setiap kali hujan, rumahnya akan dipenuhi air.

Menurutnya, bumbung rumahnya sudah banyak yang bocor dan perlu diganti baru.

“Hati memang tidak tenteram bila hujan. Kalau di luar basah begitu jugalah di dalam rumah kerana bumbung sudah bocor sana sini.

“Kadangkala bila hujan, saya terpaksa mencari ruang yang ada di rumah ini untuk tidur kerana bumbung di dalam bilik juga bocor,” katanya.

Krisnaveny berkata, sebelum hujan dia perlu meletakkan baldi dan besen kerana jika tidak rumahnya bagaikan dilanda banjir kilat.

“Berikutan masalah ini, saya bimbang jika berlaku litar pintas sekali gus menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

“Baru-baru ini, angin kencang telah menerbangkan sebahagian bumbung rumah. Saya memang tidak ada wang untuk memperbaiki kerosakan itu dan membiarkan begitu sahaja,” katanya yang sudah menduduki rumah itu selama 30 tahun.

Dia berkata, namun dia bernasib baik apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk menampung keperluan dua cucunya dan bantuan rumah sewa sebanyak RM1,488 selama setahun.

“Saya memang tiada punca pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan JKM. Mujur ada bantuan itu, jika tidak, kami pasti akan hidup dalam kesempitan,” katanya.

Sementara itu, bila ditanya mengenai persiapan sambutan Deepavali, Krisnaveny berkata, mereka sekeluarga hanya menyambutnya ala kadar sahaja sama seperti tahun sebelumnya.

“Deepavali tahun ini biasa sahaja, cuma kelainannya apabila menerima sumbangan perayaan Deepavali daripada Adun Senaling, Datuk Ismail Lasim dan Pegawai daerah, Ibrahim Hasan,” katanya.

Katanya, terima kasih kepada pihak berkenaan yang sudi menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment