Monday, 24 October 2011

Askar Thai dikerah kukuhkan benteng banjir

BERSIAP MENGHADAPI BAH: Penduduk Thai berdiri di atas guni pasir untuk berehat sementara sambil melihat ke arah jalan raya yang ditenggelami air di Bangkok, semalam, sedang kerajaan negara itu cuba mengurangkan kesan banjir di ibu kota itu. -- Foto AFP
Paras air Sungai Chao Phraya timbulkan kebimbangan besar

BANGKOK: Askar-askar Thailand semalam mengukuhkan benteng-benteng banjir yang agak lemah di sepanjang Sungai Chao Phraya di Bangkok, selepas kenaikan serta-merta paras airnya mengancam usaha menangani banjir paling teruk di negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Perdana Menteri Thai, Cik Yingluck Shinawatra, telah memberi amaran bahawa air bah mungkin mengambil masa enam minggu untuk surut, sambil memberitahu di ibu kota itu supaya bersiap sedia menghadapi banjir yang boleh mencapai paras setinggi satu meter itu.

Hujan monsun yang lebat sejak tiga bulan lalu telah mengorbankann nyawa lebih 350 orang di Thailand dan merosakkan rumah-rumah dan kehidupan sembilan juta penduduk.

Lebih 110,000 penduduk terpaksa mencari perlindungan di sejumlah 1,743 pusat pemindahan daripada air bah yang disifatkan oleh kerajaan Thai sebagai 'sukar dibendung'.

Pihak berkuasa bertungkus lumus cuba mengatasi pengaliran air bah dari beberapa kawasan di pinggiran utara Bangkok yang sudah pun ditenggelami air sedalam paras pinggang.

Sekarang, paras air di Sungai Chao Phraya menimbulkan 'kebimbangan besar', kata kerajaan.

Air sungai tersebut melimpah keluar dari tebingnya, kelmarin, menyebabkan beberapa bahagian daripada daerah tengah Bangkok ditenggelami air - termasuk kawasan berhampiran pusat politiknya - sehingga mendorong usaha mengatasi kebocoran pada benteng-benteng sebelum bermulanya air pasang, petang semalam.

Pihak berkuasa Bangkok menggesa kira-kira 3,000 penduduk berdekatan tebing Sungai Chao Phraya berpindah ke pusat-pusat pemindahan.

Sementara itu, di bahagian utara ibu kota itu, kejadian banjir semakin hampir menjejas Don Mueang, lapangan terbang kedua terbesar di Bangkok, yang mana sebahagiannya telah dijadikan pusat pemindahan bagi ribuan penduduk dan dilindungi oleh benteng-benteng guni pasir.

Lebih 150 sekolah di ibu kota Thailand itu telah disiap sediakan untuk menjadi pusat-pusat pemindahan.

Pihak kerajaan Thai sedang berusaha menyalurkan berbilion meter padu air yang mengalir dari bahagian utara desa ke laut melalui sungai-sungai dan terusan-terusan di sekitar bandar itu dengan membuka pintu-pintu air sluis.

'Terdapat beberapa faktor yang tidak dapat kami kawal. Air sedang mengalir dari dua arah,' kata Cik Yingluck kepada para wartawan.

'Penduduk Bangkok akan terjejas kerana air akan mengalir ke selatan, khususnya melalui terusan Saen Saeb (yang merentasi pusat bandar) dan sistem saliran yang akan membantu mengalirkan air keluar (ke laut) dengan cepat,' jelasnya.

Satu lagi ujian besar dijangkakan berlaku antara Jumaat dan Ahad ini, apabila Sungai Chao Phraya bakal mengalami air pasang yang tinggi, di samping pengaliran air bah dari utara.

Lebih 1,000 orang telah dipindahkan dari rumah masing-masing di daerah-daerah utara Bangkok, termasuk daerah Don Mueang dan Lak Si, akibat limpahan air dari terusan-terusan di kawasan itu.

Semalam, Cik Yingluck turut mengumumkann perintah di bawah Akta Pencegahan dan Pengurangan Bencana 2007 Thailand bagi membolehkan pihak berkuasa menangani masalah banjir itu dengan lebih baik lagi. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment