Monday 24 October 2011

Dua premis judi diserbu



REMBAU – Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau berjaya merampas 32 set komputer yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian ketika membuat serbuan di dua premis di daerah ini, 21 Oktober lalu.

Dalam serbuan pertama, kira-kira 6 petang itu di salah sebuah premis taman perumahan di Chembong, seorang lelaki yang dipercayai bekerja di premis berkenaan turut ditahan dan di reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, ketika serbuan dibuat di premis pertama, terdapat 10 individu berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun berada di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, kesemua mereka dipercayai sedang leka menggunakan komputer dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.

“Manakala, bagi serbuan kedua kira-kira jam 7.30 malam, sebanyak 20 set komputer yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian dirampas dan kita juga menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mizan berkata, di premis kedua itu, sebanyak 20 individu berada di dalamnya dan kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(B) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang mana boleh didenda sehingga RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Kita memandang serius isu ini dan berharap orang awam tidak sesekali membabitkan diri atau ketagih bermain komputer perjudian.

“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes seumpama ini boleh hubung talian 06-6852222 bagi bantu siasatan,” katanya.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment