Monday, 24 October 2011

Pegawai trafik cedera dirempuh mat rempit



KLANG - Seorang pegawai penguat kuasa trafik cedera dirempuh mat rempit ketika operasi di Persiaran Raja Muda Musa, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, Cif Inspektor Zulkafli Hashim dari balai trafik Klang cedera di pergelangan tangan kanan dan lutut apabila tindakannya untuk mempertahan diri gagal daripada dirempuh sebuah motosikal dipercayai ditunggang seorang pelajar sekolah.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Balai Trafik Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa ketika itu sedang memeriksa sebuah motosikal, dalam masa sama, sekumpulan mat rempit yang lari lintang pukang kerana terkejut dengan pemeriksaan dibuat polis bertindak melanggar mangsa dari bahagian kanan.

Menurutnya, mangsa yang tidak sempat mengelak cuba mempertahankan diri, namun gagal menyebabkan terjatuh ke sisi jalan raya.

“Motosikal milik mat rempit yang melanggar mangsa turut terjatuh, melihat insiden itu, anggota trafik lain terus mencekup mat rempit berkenaan, dia dibawa ke balai bagi membantu siasatan,” katanya.

Berdasarkan siasatan polis, mat rempit yang ditahan merupakan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Bukit Tinggi.

Ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha dan dipercayai menjadikan aktiviti rempit sebagai rutin malam minggu.

Rosly berkata, insiden itu berlaku ketika operasi cegah mat rempit fasa kedua bermula jam 3.30 pagi di lampu isyarat Kampung Raja Uda di Persiaran Raja Muda Musa.

Katanya, operasi yang disertai 12 anggota dan diketuai oleh mangsa sendiri adalah satu langkah mencegah kegiatan mat rempit.

“Fasa pertama, anggota penguat kuasa menjalankan sekatan jalan raya di laluan sama berhampiran bangunan Harbour Place pada jam 12 malam hingga 2.45 pagi, namun dalam operasi itu, tidak ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Zulkafli yang dilaporkan stabil mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment