'Dia cukup gembira ketika menunjukkan komen cemerlang yang ditulis gurunya pada kertas peperiksaan ketika pulang sekolah Selasa lalu.
'Tapi, kegembiraannya selepas mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan akhir tahun itu tidak berpanjangan apabila menemui ajal pada malam yang sama,' kata Cik Sim Cheng Ang, 36 tahun, ibu kepada pelajar berkenaan, Ugo Teoh, dalam laporan akhbar Metro Ahad, semalam.
Menurutnya, beliau juga terkilan kerana anaknya itu tidak berpeluang menerima sendiri pialanya selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik bagi pertandingan menulis karangan Bahasa Cina.
Cik Sim berkata Ugo mencatatkan keputusan antara lapan murid terbaik bagi keseluruhan murid tahun satu sekolahnya dalam mata pelajaran itu.
'Saya terpaksa mewakilinya untuk menerima piala itu dari pihak sekolah hari ini (Jumaat lalu) dan saya merancang letak bersama abu mayatnya sebagai kenangan,' katanya, ketika ditemui Jumaat lalu.
Dalam kejadian Selasa lalu itu, murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Keow Kuang, itu disahkan maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Bukit Mertajam (HBM), kira-kira 9 malam.
Mangsa sebelum itu dikatakan bersama ibu bapanya dan seorang adik lelakinya, Udix, empt tahun, keluar makan di sebuah restoran di Jalan Tembikai, di sini, kira-kira jam 7.30 malam.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan tersedak selepas menelan bebola daging sebelum tercekik dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
Ugo kemudiannya mengalami kancing gigi hingga menyebabkan mulutnya berdarah sebelum rebah.
Mangsa kemudian diberikan bantuan oleh orang ramai yang makan di restoran berkenaan sebelum dikejarkan ke sebuah klinik swasta dan dirujuk pula ke HBM untuk rawatan lanjut.
'Mulanya saya tidak tahu dia tercekik apa, tetapi hanya dapat mengetahuinya selepas pihak hospital mengeluarkan bebola daging itu,' kata Cik Sim, yang mempunyai seorang lagi anak perempuan, Peyi, dua tahun.
Cyberita Online Luar Negara:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment