Monday 24 October 2011

Ubah tanggapan rakyat



KUALA PERLIS - Kerajaan Pusat diminta mengkaji semula keberkesanan peletakan kesalahan penyalahgunaan daun ketum di bawah Akta Racun 1952 dan memindanya di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi memastikan aktiviti itu dapat dibanteras di peringkat akar umbi.

Adun Kuala Perlis, Mat Hassan berkata, kesalahan penggunaan daun terlarang di bawah Akta Racun 1952 dikenal pasti menyebabkan masyarakat setempat tidak menganggap penggunaannya sebagai satu jenayah berat kerana nilai denda yang rendah.

Menurutnya, beliau ada berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen dan menggesa mereka membangkitkan kembali perkara ini demi masa depan golongan belia di negara ini.

“Di Perlis, penyalahgunaan air daun ketum amat berleluasa dan dianggap perkara biasa oleh masyarakat setempat.

“Ia boleh dibuktikan, di mana airnya dihidangkan dalam majlis kenduri seolah-olah seperti air kopi.

“Malah, kebanyakan penduduk kampung di negeri ini menanam daun ketum secara terbuka di halaman rumah.

“Perkara terbabit tidak baik untuk masa depan kerana golongan belia akan menganggap meminum air ketum tidak salah serta adat warisan turun temurun,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Kursus Anti Dadah “Jati Diri Ke Arah Memperkasakan Keluarga’ anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis di sini semalam.

Mat Hassan berkata, purata rakyat Perlis yang terjebak dengan penagihan dadah dalam tempoh lima tahun.

Bermula pada tahun 2005 ialah 318 orang, 289 orang (2006), 147 orang (2007), 171 orang (2008) dan 302 orang (2009).

Beliau berkata, 20,502 penagih di seluruh negara dimasukkan ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 12,397 atau 60.5 peratus berjaya dipulihkan manakala selebihnya balik kepada tabiat lama atau meninggal dunia.

“Berdasarkan maklumat AADK, kos merawat seorang penghuni Puspen adalah RM593.10 sebulan

“Ia merangkumi makan dan minum, emolumen kakitangan dan sebagainya dan kini 5,441 penagih dadah dalam proses pemulihan di 29 cawangan Puspen seluruh negara,” katanya.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment