2011/10/24
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak dan merogol dua wanita di tandas awam, tiga bulan lalu. Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Endry Roni Afandi, 27, selepas dia menukar pengakuan bersalahnya hari ini dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 13 Julai lalu.Sebelum menjatuhi hukuman, Emelia berkata, faktor kepentingan awam dan rayuan daripada peguam bela dipertimbangkan sebelum membuat keputusan."Tertuduh sebagai ketua keluarga sepatutnya tahu membezakan yang baik dan buruk serta faktor kemiskinan yang dihujahkan oleh peguam bela bukanlah alasan untuk tertuduh melakukan jenayah," katanya.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Endry kerana merompak seorang eksekutif bank, 32, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di bawah Stesen LRT Bandaraya, Dang Wangi di sini antara jam 5.15 hingga 5.30 petang, 8 Julai 2011.
Bapa kepada anak lelaki berusia lapan bulan itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Dia turut dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa di tempat, waktu dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Endry kerana merompak seorang kerani, 24, dengan menggunakan senjata yang sama dan menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas awam yang beralamat di Stesen Minyak Shell, Danau Kota, Setapak antara 2 hingga 5 petang, 10 Julai 2011.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh berjalan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman terhadap kes pertama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah manakala tertuduh diwakili peguam S Letchiemanan. - BERNAMA
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment