BACHANG - Kerana mahu melarikan sebuah kereta, sekumpulan penjenayah tidak memecahkan pintu pagar rumah dicerobohnya, sebaliknya sanggup berhempas pulas mencuba setiap anak kunci yang ditemui dalam peti kunci rumah berkenaan.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Pandan Maju, Lorong Pandan, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, pemilik rumah merupakan seorang pengurus kilang plastik, Mohammed Hashim, 42, bersama keluarganya tidak berada dalam rumah kerana berada di Kuala Lumpur.
Mohammed berkata, sebaik saja sampai ke rumah dari Kuala Lumpur apabila melihat kenderaannya yang diletakkan di garaj rumahnya lesap.
Menurutnya, tiga daripada empat bilik tidur di dalam rumahnya turut digeledah, selain geril dalam bilik komputer dicabut suspek yang dipercayai dilakukan lebih daripada seorang.
“Ketika sampai di rumah, saya nampak kereta tiada di garaj. Perasaan saya kuat mengatakan rumah dimasuki pencuri apabila mendapati pintu pagar tidak tertutup rapat, pintu rumah tidak berkunci dan terdapat mangga pintu rumah di lantai.
“Saya percaya mereka masuk melalui tingkap di bilik komputer dengan menanggalkan geril besi pada tingkap di bilik itu. Tapi, saya tidak pasti bagaimana mereka membuka tingkap itu kerana tiada kesan diumpil,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, penjenayah terbabit sempat melarikan kereta jenis Honda Accord milik syarikat selepas mereka menjumpai kunci kereta itu di satu bahagian almari baju dalam bilik tidur. – SH MNS / SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment