Monday, 24 October 2011

Kedutaan Amerika beri amaran kepada warga perihal ancaman serangan di Kenya

NAIROBI: Kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi awal semalam memberi amaran kepada warga Amerika tentang ancaman serangan yang ditujukan ke atas warga asing, selang seminggu selepas tentera Kenya menyeberangi Somalia untuk memburu anggota kumpulan militan Shebab.

Kedutaan itu memetik 'maklumat boleh dipercayai mengenai ancaman serangan pengganas yang ditujukan ke atas kemudahan-kemudahan utama Kenya dan kawasan- kawasan tumpuan warga asing seperti pusat-pusat beli-belah dan kelab-kelab malam'.

'Kedutaan telah mengambil langkah membataskan perjalanan rasmi pemerintah Amerika ke Kenya, dan warga Amerika harus mengambil kira maklumat ini apabila merancang untuk melancong serta menangguhkan perjalanan mereka kali ini,' tambah kedutaan itu dalam satu kenyataan yang disediakan oleh jurucakap Jabatan Negara Amerika di Washington.

Kenyataan itu, bagaimanapun, tidak menjelaskan pihak yang mungkin menjalankan serangan-serangan itu.

Jabatan Negara Amerika pernah mengeluarkan amaran yang sama pada Disember lalu, yang masih dikekalkan sambil memberi amaran tentang 'ancaman berterusan daripada kegiatan pengganasan dan kadar jenayah ganas yang tinggi'.

Minggu lalu, Kenya mengerahkan askar-askarnya menyeberangi sempadannya dengan Somalia untuk memburu anggota kumpulan pemisah Shebab, yang didakwa bertanggungjawab ke atas penculikan seorang pelancong Britain, seorang wanita cacat warga Perancis yang mati dalam tahanan, serta dua pekerja pembantu Sepanyol.

Kenya tidak mendedahkan jumlah askar yang dikerahkannya tetapi para pengamat menganggarkan jumlahnya antara 2,000 dengan 3,000 orang. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment