Monday, 24 October 2011

Ragut beg: Dua rakan dipenjara tiga tahun empat bulan


24/10/2011 8:15pm

MELAKA 24 Okt. – Dua sahabat masing-masing menangis apabila dihukum penjara 40 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meragut beg tangan seorang gadis pada Jun lalu.

Muhammad Shafiq Abdul Rahman, 18, dan Muhammad Akmal Isa, 20, didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap S. Geeta, 22, di Jalan Besar Datuk Dol Said berhadapan dengan kedai serbaneka 7-Eleven di Alor Gajah pada pukul 4.30 petang, 15 Jun lalu.

Beg tangan mangsa yang diragut itu mengandungi wang tunai RM200 dan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, buku bank serta kad Jabatan Pertahanan Awam.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini dibicarakan atas tuduhan tersebut tetapi menukar pengakuan kepada bersalah selepas empat saksi pendakwaan selesai memberi keterangan, dua minggu lalu.

Terdahulu, peguam, Andrew Lourdes yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap kedua-dua anak guamnya itu.

``Dalam kes ini, mangsa tidak dicederakan manakala kerugian hanya RM200 dan saya mohon hukuman ringan dijatuhkan terhadap kedua-dua tertuduh,’’ kata peguam tersebut.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kekerapan kes ragut yang berlaku tanpa mengenal usia mangsa.

``Beberapa kes sebelum ini menunjukkan ada mangsa yang cedera parah dan lebih teruk ada yang meninggal dunia akibat diragut,’’ kata Mahadi.

Hakim Ahmad Sazali Omar memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap. – Utusan

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment