Monday 24 October 2011

Lapan lelaki diberkas kerana dadah




2011/10/24

IPOH: Polis memberkas lapan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM550,000 serta perkakas memproses dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Ipoh, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim, berkata penahanan semua suspek dan serbuan itu dipercayai melumpuhkan kegiatan pengedaran heroin serta syabu di sekitar daerah Kinta iaitu di kawasan Ipoh, Batu Gajah dan Kampar.
"Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 8.002 kilogram, syabu sebanyak 1.219 kilogram, syabu berbentuk cecair seberat 30 liter, ketamin sebanyak 108 gram dan pil Psikotropik pula sebanyak 21 gram," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan ketiga-tiga serbuan itu adalah yang terbesar di Perak setakat ini.

Katanya, selain dadah, polis merampas tujuh kenderaan, barangan kemas, sembilan telefon bimbit dan wang tunai RM32,131 serta menyita harta yang dianggarkan bernilai RM371,000.

Mohd Noor Rashid berkata, siasatan awal mendapati tujuh suspek berasal dari Perak manakala seorang lagi dari Melaka, dan semua mereka berusia lingkungan 26 dan 36 tahun.

Beliau berkata, tiga suspek ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Meru Impiana, Sabtu lalu manakala dua lagi hasil serbuan ke sebuah rumah di Taman Jelapang, yang dipercayai menjadi tempat pemprosesan dadah.
"Serbuan pada jam 5.15 petang hari yang sama di sebuah pondok di kawasan kebun pisang berhampiran Taman Suria, Tanjung Rambutan pula, polis merampas 26 tong mengandungi cecair Aceton, empat periuk berisi syabu cecair, lebih empat plastik guni bertulis 'caustic soda flake’ 98 peratus serta perkakas lain," katanya sambil menambah polis turut memberkas tiga lelaki yang berada di kawasan berkenaan.

Mohd Noor Rashid berkata, dua suspek didapati memiliki kesalahan lampau mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Katanya, semua suspek yang dipercayai aktif dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar Kinta itu kini ditahan reman sehingga 29 Oktober ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Berita Harian Online | Lapan lelaki diberkas kerana dadah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment