Monday, 24 October 2011

Ibu tunggal perlu rumah baru



BATU 16 – Sebuah keluarga terpaksa tinggal di ruang tamu buat sementara waktu apabila keseluruhan bumbung rumah di bahagian dapur diterbangkan ribut 19 Oktober lalu.

Ibu tunggal, Siti Salmiah Sulaiman, 49, berkata, dengan kesempitan hidup yang dialami, dia tidak mampu membaiki bumbung rumah berkenaan.

“Saya tidak bekerja dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Dengan wang itu juga saya turut menampung perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah dan ibu yang berusia 89 tahun,” katanya di rumahnya di Batu 16, Padang Lumat.

Menurutnya, sejak kematian suaminya 12 tahun lalu dia yang mengambil alih tanggungjawab dalam membesarkan anak-anak dan menjaga ibunya yang sudah tua.

“Rumah ini adalah rumah pusaka emak, saya sudah tinggal di sini selama 23 tahun. Keadaan kayunya yang sudah reput, semua orang tidak berani untuk naik ke bumbung bimbang jika kayu patah,” katanya.

Salmiah berkata, jika dilihat dari dalam rumah berkenaan kelihatan sedikit condong ke hadapan, kerana struktur rumahnya yang sudah dimakan anai-anai dan retak di bahagian penyambung kedua-dua dinding.

“Saya pernah memohon rumah daripada pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), namun sehingga kini belum menerima sebarang perkembangan positif.

“Saya juga bimbang jika keadaan terus begini akan berlakunya litar pintas, hanya ini sajalah rumah yang kami ada,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulur bantuan boleh menyalurkan melalui akaun bank CIMB atas nama Siti Salmiah Sulaiman bernombor 0202-1118527-52-4 atau boleh menghubungi menerusi 012-5343718.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment